Kuala Belait, 25 Februari 2020 – Pada hari ini bendera Negara Brunei Darussalam yang berkibar di kawasan Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait diturunkan bagi menandakan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke 36 Tahun berakhir.
Hadir selaku menyaksikan upacara penurunan bendera tersebut ialah Yang Mulia, Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Belait, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Mukim Liang dan Awang Hanapi bin Md Siput, selaku Pemangku Penghulu Mukim Labi / Ketua Kampung Labi I, Ketua-Ketua Jabatan dan Cawangan di Daerah Belait, Penghulu-Penghlu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung, Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, wakil-wakil dari pihak swasta dan wakil dari persatuan-persatuan.

Upacara dimulakan dengan pasukan Polis Diraja Brunei bergerak masuk bagi menurunkan bendera Negara Brunei Darussalam.
Kemudian nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam "Allah Peliharakan Sultan" dinyanyikan oleh Kumpulan Koir dari Sekolah Menengah Perdana Wazir, Kuala Belait.





Selepas menyanyikan lagu kebangsaan, bendera Negara Brunei Darussalam diturunkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dan seterusnya menyerahkan kepada Pegawai Daerah Belait untuk disimpan.
Majlis disudahi dengan Bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Awang Mustaqim bin Haji Mustafa, Bilal Masjid Pekan Seria.
Dengan adanya majlis tersebut menandakan bahawa acara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berakhir. Orang ramai hendaklah menurunkan bendera mereka mulai dari hari ini dan hendaklah melipatnya dengan kemas serta menyimpannya di tempat yang bersesuaian.