BUKIT SAWAT, BELAIT, 28 Disember -
Yang Mulia Awang Mohammad Amir Hairil bin Haji Mahmud, Setiausaha Tetap
(Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang), Yang Mulia Awang Salminan bin
Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran Dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam
Negeri dan Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan,
Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan telah membuat lawatan
tinjauan ke kawasan-kawasan pendalaman yang terjejas dengan banjir di Mukim
Bukit Sawat, Daerah Belait hari ini.
Sebelum meninjau ke
kawasan-kawasan yang dilanda banjir, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap telah
mendengar penerangan dari Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad, Penolong Pegawai
Daerah Belait selaku Pengerusi Pusat Operasi Kecemasan Daerah mengenai status
terkini dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi
kerajaan di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir.




Keadaan banjir di Mukim
Sukang pada masa ini dalam keadaan terkawal dan pihak DDMC Belait yang terdiri
daripada pelbagai agensi telah dan sedang melaksanakan pemantauan secara
berterusan sekiranya penduduk yang terjejas dan berisiko banjir
memerlukan keperluan bantuan bagi memastikan keselamatan dan
kesejahteraan penduduk kampung.
Jawatankuasa Pengurusan
Bencana Daerah (DDMC) Belait dari masa ke semasa membuat pemantauan
keadaan cuaca dan paras air sungai bagi kawasan-kawasan banjir. Melalui
langkah-langkah yang telah diambil dan kerjasama daripada Ketua-Ketua Kampung
membolehkan DDMC Belait bertindak secara bersepadu dan sentiasa bersiap sedia
dari masa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan
penduduk-penduduk kampung. Beberapa buah perahu disediakan bagi kemudahan
pengangkutan penduduk-penduduk kampung yang terjejas banjir. Pihak JAPEM juga
menghulurkan barang catuan makanan kepada penduduk yang terjejas setiap minggu.
Yang Mulia Setiausaha
Tetap-Setiausaha Tetap telah meninjau ke beberapa kawasan terjejas banjir dan
seterusnya menyerahkan bantuan catuan kepada penduduk-penduduk kampung yang
terjejas banjir di Kampung Sungai Mau, Kampung Laid Lakang, Kampung Merangking
Hilir dan Kampung Kandol.




Sebanyak 13 bantuan
catuan telah diserahkan kepada penduduk-penduduk kampung yang terjejas banjir
iaitu lima catuan di Kampung Sungai Mau, di Kampung Laid Lakang sebanyak
dua catuan, di Kampung Merangking Hilir sebanyak dua catuan, dan empat
catuan di Kampung Kandul. Bantuan catuan tersebut diserahkan seminggu sekali
oleh pihak JAPEM.
Sebagai usaha bersepadu
dan muafakat, agensi-agensi Kerajaan khususnya Penghulu Mukim, Ketua Kampung,
Jabatan Daerah Belait, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Perkhidmatan
Perubatan Kecemasan Ambulan (EMAS), Pusat Kesihatan, Jabatan Pembangunan
Masyarakat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Angkatan
Bersenjata Diraja Brunei, Polis Diraja Brunei dan Jabatan Bomba dan Penyelamat
sentiasa bekerjasama dan membuat pemantauan secara berterusan ke atas
kawasan-kawasan yang terjejas banjir.
Hadir sama menyertai
lawatan kerja tersebut ialah Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, Ahli
Majlis Mesyuarat Negara yang juga Pemangku Penghulu Mukim Labi; Awang Ramlee
bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Belait; Awang Haji Mohd Salleh bin Othman,
Penghulu Mukim Bukit Sawat; Awang Lim Hock Guan, Pemangku Pengarah Pusat
Pengurusan Bencana Kebangsaan; Ketua Kampung Bukit Sawat, Pemangku Ketua
Kampong Merangking, serta pegawai-pegawai dari agensi-agensi Kerajaan yang
berkenaan iaitu Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan Belia
dan Sukan, Jabatan Daerah Belait, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Angkatan
Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan
Penyelamat, dan Jabatan Pembangunan Masyarakat.