SUNGAI LIANG, BELAIT 11 Disember – Dikir Syarafil Anam adalah merupakan satu khazanah warisan bangsa Melayu Brunei yang berharga yang perlu dikekalkan. Sehubungan dengan itu Jabatan Daerah Belait dan Majlis Perundingan Mukim Liang mengendalikan Pertandingan Peringkat Akhir Dikir Syarafil Anam Antara Majlis-Majlis Perundingan Mukim Dan Kampung Seluruh Negara Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73 Tahun 2019. Acara ini diadakan di Dewan Serbaguna SPARK, Kampung Sungai Liang. Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam.

Pertandingan Dikir Syarafil Anam antara Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara adalah salah satu acara Keugamaan bagi menyemarakkan dan memeriahkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-73 Tahun. Disamping itu pertandingan ini juga untuk menggalakkan kaum muslimin dan muslimat mengamalkan warisan Orang Melayu Brunei dan sebagai penggalak untuk terus berselawat dan memuji Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam melalui Lagu-Lagu Dikir Syarafil Anam bersama dengan alunan lagu-lagunya yang indah dan tersendiri.










Sebanyak 5 pasukan dikir Lelaki dan 5 pasukan dikir Wanita mewakili Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dari ke empat-empat daerah. Ia termasuk pasukan dikir lelaki dan wanita Majlis Perundingan Mukim Liang selaku penganjur pertandingan pada tahun ini.
Diakhir pertandingan berkenaan, Yang Berhomat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang disetiap kategori.
Pertandingan itu juga diserikan dengan persembahan tausyeh dari Kumpulan Firqah Amaturrahman dari Daerah Belait.


Turut Hadir, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pegawai Daerah Belait, Pegawai-Pegawai Daerah Brunei & Muara, Tutong dan Temburong, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung, Pegawai dan Kakitangan Jabatan Daerah Belait serta Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.
Disediakan Oleh:
Bahagian Perhubungan Awam, Teknologi Maklumat danPenyelidikan
Jabatan Daerah Belait
Kementerian Hal Ehwal Dalam negeri