BUKIT SAWAT, BELAIT, 22 NOVEMBER 2019 – Majlis Penyampaian Sijil-Sijil Lantikan Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Ketua Kampung Bukit Sawat, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait telah diadakan pada pagi Jumaat, 22 November 2019 bertempat di Dewan Serbaguna, Mukim Bukit Sawat.
Hadir bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil-Sijil Lantikan tersebut ialah Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang juga selaku Tetamu Kehormat. Hadir sama di majlis tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku Ketua Kampung Labi I/Pemangku Penghulu Mukim Labi; Yang Mulia, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Mulia Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Belait; Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, dan Ketua-Ketua Rumah Panjang; Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta penduduk-penduduk Mukim Bukit Sawat.

Awang Haji Md Salleh bin Haji Othman telah dilantik selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat dan telah memulakan tugas beliau pada 17 Jun 2019 lalu. Manakala Awang Mohammad bin Abdullah dilantik sebagai Ketua Kampung Bukit Sawat dan telah mula menjalankan tugasnya pada 05 November 2019 yang lalu setelah menamatkan perkhidmatannya di Jabatan Kerja Raya.
Jawatan Penghulu Mukim Bukit Sawati telah lama kosong sejak penjawatnya yang terdahulu bersara pada tahun 2005; manakala jawatan Ketua Kampung Bukit Sawat pula telah kosong sejak tahun 1998. Sejak itu, jawatan-jawatan berkenaan telah dipangku sehinggalah jawatan-jawatan tersebut diisikan secara tetap setelah melalui proses pengisian mengikuti Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam. Awang Haji Md Salleh bin Haji Othman, 56 tahun, merupakan seorang persara Kerajaan dan beliau berkelulusan Diploma Kebangsaan Peringkat Tinggi (HND). Awang Mohammad bin Abdullah, 50 tahun, pula mempunyai kelulusan Sijil Am Peringkat biasa dan merupakan bekas kakitangan kerajaan di Jabatan Kerja Raya.


Dalam ucapan alu-aluannya, Pegawai Daerah Belait menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada mantan-mantan dan juga pemangku jawatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung serta keluarga mereka atas perkhidmatan dan sumbangan selama menjawat jawatan-jawatan berkenaan.
Di Majlis tersebut, Tetamu Kehormat telah menyampaikan ucapan dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil lantikan kepada Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Ketua Kampung Bukit Sawat yang baru. Penghulu Mukim dan Ketua Kampung kemudiannya membaca ikrar disusuli dengan menyampaikan ucapan masing-masing. Majlis diakhiri dengan Doa Selamat oleh Yang Mulia, Haji Abd Hamid bin Haji Abas, Ketua Imam, Masjid Al-Mashhor, Sungai Mau, Mukim Bukit Sawat.
%20WS4.png)
%20WS5.png)
%20WS6.png)
%20WS7.png)


Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Ketua Kampung Bukit Sawat, Daerah Belait telah diadakan secara serentak pada 03 Mac 2019 yang lalu. Awang Haji Md Salleh bin Haji Othman dan Awang Mohammad bin Abdullah adalah merupakan calon tunggal bagi jawatan-jawatan tersebut.
Mukim Bukit Sawat mempunyai keramaian penduduk lebih kurang 831 orang dimana 645 orang daripadanya berada dalam Kampung Bukit Sawat. Kampung Bukit Sawat dan Kampung Merangking adalah merupakan kampung-kampung di bawah Mukim Bukit Sawat.