SERIA, Isnin, 28 Oktober. - Pembukaan Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1441 Hijrah / 2019 Masihi diadakan di masjid-masjid secara serentak di seluruh negara mulai 1 Rabiulawal 1441 Hijrah bersamaan 28 Oktober 2019.
Dikir dimulakan selesai menunaikan Solat Fardu Maghrib Berjemaah dan berlangsung selama 12 malam hingga 12 Rabiulawal 1441 Hijrah bersamaan 8 November 2019.
Bagi Daerah Belait, seramai 100 orang, terdiri daripada rombongan pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, Ahli Jawatankuasa Kerja Sambutan, Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan jemaah-jemaah hadir bagi Majlis Pembukaan Dikir di Masjid Pekan Seria.
Acara Solat Fardu Maghrib Berjemaah dan Majlis Dikir dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diketuai oleh, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani Bin Ismail selaku wakil Ketua Rombongan, diikuti dengan Persembahan Dikir Assalamu'alaika dan Dikir-Dikir Syarafil Anam.
Dikir diteruskan lagi dengan Persembahan Dikir Asyarakal dan Doa Dikir dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Imam Haji Aminorddin bin Haji Mohd. Yussof.
Majlis diungkayahkan sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, selain mengingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim bersama jemaah masjid dan penduduk kampung.
Turut hadir pada majlis itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid Bin Haji Mumin, Penghulu Mukim Liang selaku Pemangku Penghulu Mukim Kuala Belait.