BELAIT, Isnin, 25 Februari. -
Orang ramai khususnya bagi penduduk Daerah Belait hendaklah menurunkan bendera
mereka mulai hari ini dan hendaklah melipatnya dengan kemas serta menyimpannya
di tempat yang bersesuaian. Sehubungan itu, Upacara Menurunkan Bendera Besar
Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara
Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2019 menandakan bahawa aturcara sempena Hari
Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah berakhir.
Upacara Menurunkan Bendera bagi
Daerah Belait telah diadakan di kawasan Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait
yang disaksikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Ridzuan bin Haji
Ahmad bersama ketua-ketua jabatan dan Cawangan Daerah Belait, penghulu-penghulu
mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung,
wakil-wakil dari pihak swasta dan wakil dari persatuan-persatuan.
Upacara dimulakan dengan Pasukan
Pengibar Bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada
anggota-anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.
Kemudian nyanyian Lagu Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dinyanyikan oleh Kumpulan
Koir Permata 2.0 dari Mukim Seria, juara Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik
Antara Mukim-mukim di Daerah Belait bagi Program Semarak Pengibaran Bendera
Negara Brunei Darussalam Negara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam Ke-35 Tahun anjuran Jabatan Penerangan. Selepas
menyanyikan lagu kebangsaan, bendera diturunkan oleh Pasukan Pengibar Bendera
dan diserahkan kepada Pemangku Pegawai Daerah Belait untuk disimpan. Majlis
disudahi dengan Bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Imam
Masjid Sungai Liang, Awang Mohamad Ikhwan bin Irwandy.