KAMPUNG MERANGKING – 9 Disember 2018 – Sambutan Hari Keluarga dan Sukan Ria telahpun diadakan di Kampung Merangking bermula pada 6 Disember 2018 hingga 9 Disember 2018 yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung Merangking Dengan Kerjasama Majlis Perundingan Mukim Bukit Sawat dan Jabatan Daerah Belait bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Merangking.
Tujuan Sambutan Hari Keluarga dan Sukan Ria ini diadakan adalah bagi memberi kesempatan kepada Ahli-Ahli Keluarga di Kampung Merangking dan sekitarnya termasuklah anak-anak buah kampung yang tinggal di kawasan Bandar termasuklah yang tinggal di daerah lain berkumpul dan beramah mesra dan seterusnya mengeratkan tali silaturahim yang sedia ada supaya ianya lebih akrab lagi.
Dengan adanya aktiviti seumpama ini juga dapat memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha kecil-kecilan bergiat bagi meningkatkan perekonomian keluarga serta memberi dorongan kepada golongan belia-beliwanis belajar dibidang perniagaan, Selain itu, Produk Satu Kampung Satu Produk juga dipamerkan disambutan tersebut.
Aktiviti dimulakan pada Malam Jumaat, 6hb Disember 2018 dengan mengadakan Sembahyang berjemaah Fardhu Magrib dan Isyak bersama keluarga yang diadakan di Balai Ibadat Kampung Merangking diselajurkan dengan membaca Doa Hari Keluarga dan Pertandingan Menghafaz ayat-ayat Lazim dan Pertandingan Azan.


Beberapa aktiviti lain juga telah disediakan oleh pihak Penganjur sepanjang tiga hari sambutan tersebut dijalankan termasuklah Sukan Ria, Perlawanan Futsal, Pertandingan Lagu-Lagu Nustalgia, Pertandingan serta pameran masak-masakan /umbut-umbut, Krafttangan dan juga gerai-gerai jualan.
Hadir sama disambutan berkenaan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid Bin Haji Mumin, Penghulu Mukim Liang / Pemangku Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Yang Berhormat Awang Hanapi Bin Mohd. Siput, Pemangku Penghulu Mukim Labi / Ketua Kampung Labi I.



