Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN MENGHAFAZ SURAH-SURAH PILIHAN BERSAMA PEMAHAMAN

0H6A1800 (2) - Copy.JPG 

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib, Pemangku Pegawai Daerah Belait. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua-Ketua Jabatan dan Cawangan Daerah Belait, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung Daerah Belait, Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Belait.

Pertandingan yang merupakan acara sampingan bagi menyemarakkan dan memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun bagi Tahun 1437H/2016M diantaranya bertujuan untuk menanamkan rasa cinta kepada Al-Quran di samping menjadikan membaca Al-Quran sebagai amalan harian. Disamping itu juga pertandingan ini bertujuan untuk menuju kearah penghayatan Al-Quran yang sebenar dengan memahami isi dan tafsiran yang terkandung di dalamnya dan juga bagi mendokong hasrat Negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir. Pertandingan ini juga dapat memberi kesempatan kepada rakyat dan penduduk khususnya kanak-kanak, ahli Jawatakuasa Takmir Masjid serta Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung untuk sama-sama terlibat dalam meraikan dan membesarkan hari-hari kebesaran Negara.

Sebanyak 6 kategori yang melibatkan 40 peserta telah dipertandingkan dalam pertandingan tersebut iaitu Kategori Kanak-Kanak Lelaki, Kategori Kanak-Kanak Perempuan, Kategori Remaja Lelaki, Kategori Remaja Perempuan, Kategori Dewasa Lelaki dan Kategori Dewasa Perempuan. Pertandingan awal telahpun diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait pada bulan Julai yang lepas.

Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah al-Fatihah yang diketuai oleh Yang Mulia Imam Haji Md Alias bin Bakar, Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Dalam pertandingan tersebut, Tetamu Kehormat telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang iaitu:

  1. Kategori A; Kanak-Kanak Lelaki, Muhammad Nur Rahi bin Abdul Sufian
  2. Kategori B; Kanak-Kanak Perempuan, Siti Fathiah binti Jasmin
  3. Kategori C; Remaja Lelaki, Muhammad Shahriful Iqal Bin Awang Abdul Sufri
  4. Kategori D; Remaja Perempuan; Siti Hafizah Al-Haziqah Binti Ariffin
  5. Kategori F; Dewasa Perempuan; Norzirwatul Fadhilah binti Haji Puteh

Dengan adanya pertandingan ini dihasratkan dapat sama-sama memeriahkan dan menyemarakkan lagi Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui acara-acara keugamaan dan juga dapat memupuk perpaduan di kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darusslam melalui pertandingan seumpama ini.

Majlis diakhiri dengan Bacaan Doa Selamat yang diketuai oleh Yang Mulia Imam Haji Md Alias bin Bakar, Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Pemenang pertandingan bagi setiap kategori akan mewakili Daerah Belait ke Pertandingan Menghafaz Surah-Surah Pilihan Bersama Pemahaman Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke 70  Tahun Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan kemudian di Daerah Tutong.

Created at 24/10/2016 11:47 by Hj Abd Aziz Bin Hj Mohamad @ Md.sabtu
Last modified at 07/12/2016 14:12 by Nusratina Binti Hj Md Daud